JARANG kedengaran ratu pop tradisional, Noraniza Idris membicarakan soal rumah tangganya yang dibina dengan bilal dari Singapura, Jeffri Hudi, 53, sejak 29 September 2011 lalu.
Bagaimanapun, selepas lebih setahun hidup bersama, timbul pula dakwaan kurang enak mengenai Noraniza yang dikatakan telah mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga.
Atau dengan kata mudah, Noraniza kini menyara suaminya yang dikatakan tidak bekerja.
Saat diajukan persoalan ini kepada tuan punya badan, Noraniza yang lebih mesra disapa sebagai Kak Ani langsung tidak melatah.
Sebaliknya, pelantun lagu Awallah Dondang ini menjelaskan, suaminya lebih suka bersikap low profile walaupun sering terlibat dalam program seni membabitkan Kak Ani.
"Mungkin orang lihat saya lebih menonjol kerana gelaran status selebriti yang saya pegang.
"Manakala, suami saya pula banyak terlibat dalam urusan pemasaran. Sebab itu, orang tidak nampak dia sangat," katanya kepada Zass.
Tambahan pula, kata Kak Ani, suaminya masih mempunyai pekerjaan lain yang perlu diberi komitmen.
"Dia kini menjalankan perniagaan membekal barang-barang runcit serta menjadi bilal bebas di masjid di Seri Kembangan, Selangor.
"Sudah tentu dia juga perlu mencari rezeki kerana mempunyai anak-anak di Singapura.
"Lagipun, takkan semua aktivitinya hendak dikongsi dengan media kerana dia bukan artis ," kata ibu kepada Mohammad Aliff Haiqal, 23, dan Mohd Alfeeq Haikal, 19, ini.
Mohon warganegara
Dalam pada itu, wanita berusia 44 tahun ini turut mengakui kehidupannya semakin bermakna dengan kehadiran Jeffri.
"Saya tidak kisah orang berkata mengenai rumah tangga kami.
"Walaupun saya sudah tidak sepopular dulu, yang penting hidup saya kini bahagia dan semua perkara yang saya lakukan mendapat restu suami," katanya yang pernah berkahwin sebanyak dua kali sebelum ini.
Bagi memudahkan urusan di sini, Kak Ani berkata, suaminya telah memohon untuk menjadi warganegara Malaysia.
"Buat masa ini, dia sudah menetap di sini dan sedang menunggu kelulusan permohonan kewarganegaraan Malaysia.
"Malah, dia juga semakin menyesuaikan diri dengan suasana di sini," katanya yang akan memperlahankan karier seninya selepas September ini demi memenuhi permintaan suami.-sinar harian
No comments: