Pelajar Kolej Komuniti terbabas elak lubang


Mangsa diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

ALOR GAJAH - Seorang pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka, cedera selepas motosikal Modenas CT100 yang ditunggang terbabas sebelum dia tercampak di Jalan Perindustrian Kelemak, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Wahida Abd Rashid, 18, dari Sungai Petai ke sebuah taman di Lendu sebelum terbabas melanggar lopak lalu tercampak ke tengah jalan.


Wahida berkata, sebaik menuruni bukit di satu selekoh, motosikal yang ditunggang hilang kawalan dan memasuki jalan berumput sebelum cuba masuk semula ke atas jalan tanpa menyedari terdapat lopak.

“Jalan di situ terlalu curam dan berselekoh mengakibatkan motosikal saya terbabas ke kiri tetapi saya cuba masuk semula ke jalan namun tayar hadapan motosikal tersangkut pada lopak air yang besar dan dalam.

“Masa tu saya terasa tubuh saya melayang dan tersembam atas jalan raya sebelum terbaring di tengah jalan. Saya menyedari ada sebuah kereta melalui jalan berkenaan tetapi tidak memberhentikan kenderaannya,” katanya.

Menurutnya, dia terbaring sendirian beberapa minit dan cuba bangun sendiri tanpa dibantu orang awam, namun tidak berdaya selepas mengalami kecederaan di seluruh badan manakala dadanya terhentak ke jalan raya.

“Kebetulan ketika kejadian cuma saya melalui jalan berkenaan membuatkan saya terpaksa terbaring beberapa minit sebelum seorang pekerja di sebuah kilang berdekatan mendekati dan membantu tenangkan saya.

“Saya cuba bangun sendiri tapi gagal kemudian ada orang awam membantu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan saya diberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital,” katanya di sini.

Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Amidah Puteh berkata, setiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan terbaring berdekatan motosikalnya di tengah jalan sambil ditenangkan orang awam yang berada di situ.

“Mangsa diberikan rawatan awal di tempat kejadian dengan memasang peralatan khas di pinggang mangsa yang mengadu kesakitan akibat terhentak dan dipasang di bahagian tengkuk yang dibimbangi turut cedera.

“Sejurus rawatan awal dilakukan, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.-sinar harian

Related Post

Pelajar Kolej Komuniti terbabas elak lubang Unknown Rating: 5 Tuesday, 1 January 2013

No comments: