KUNJUNGAN mereka ke Kuala Lumpur, baru-baru ini saat berita perang twitter antara Julia Perez dan Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi sedang begitu hangat.
Perang yang berlaku di laman sosial popular itu tercetus apabila Julia atau terkenal dengan panggilan Jupe yang juga bintang kelahiran Indonesia itu dikatakan mengkritik kualiti drama Malaysia.
Justeru, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai The Titans sempat diminta memberikan komen berhubung tindakan Jupe yang juga rakan artis senegara mereka.
“Jupe memang terkenal dengan hal yang boleh menimbulkan sensasi. Bagaimanapun, kami tidak boleh memberikan komen lanjut kerana luahan yang dilakukannya adalah menerusi akaun twitter peribadinya.
“Bagaimanapun, adalah lebih baik sama ada selebriti Indonesia mahupun Malaysia tidak menyentuh isu berkaitan negara kerana hakikatnya kita saling memerlukan. Sebagaimana difahamkan, Jupe menulis komen itu ketika berada di Malaysia dan sedang menjalani penggambaran untuk produksi negara ini.
“Seharusnya hal ini tidak berlaku. Apapun, kami enggan terbabit dalam hal politik antara Malaysia dan Indonesia yang pernah diperkatakan sebelum ini kerana muzik bagi kami adalah universal.
“Kami adalah pemuzik dan kami hanya bikin muzik yang mampu buat orang suka. Kami juga bukan orang politik. Kami juga punya ramai pengikut di sini iaitu Titaniums yang menyokong karier kami sejak album pertama hinggalah yang keempat ini.
“Kami amat menghargai sokongan peminat di sini dan lebih membuatkan kami terharu, selepas album keempat barulah kami berpeluang melancarkan album di sini, Kirana yang akan diedarkan Tropic.
“Justeru, kami enggan terbabit dalam sebarang hal politik membabitkan kedua-dua negara sebaliknya mahu menjalinkan hubungan yang baik de�ngan pemuzik, pihak media dan masyarakat di negara ini,” kata Andika selaku pemain keyboards dan juga bekas anggota kumpulan Peterpan.
Selain Andika, Indra (bes) juga adalah bekas anggota kumpulan Peterpan yang kini dikenali sebagai Noah. Kedua-duanya meninggalkan Peterpan dan menubuh�kan The Titans kerana pendirian muzik mereka tidak lagi sehala dengan Peterpan.
Apa yang menarik, The Titans yang turut dianggotai Rizki (vokal), Tomtom (dram), Oni (gitar) dan Imot (programming/synthesizer) adalah bekas ahli daripada kumpulan yang berbeza-beza namun menemukan keserasian bersama The Titans.
“Kita semua tidak mening�galkan kumpulan masing-masing dalam keadaan bermusuhan, sebaliknya secara baik. Baru-baru inipun saya bersama Indra diundang untuk membuat konsert ‘reunion’ bersama kumpulan Peterpan.
“Berbalik kepada The Titans, ia adalah tempat kami berkarya dan menghasilkan muzik yang kami inginkan. Memang pada mulanya sukar untuk mencari keserasian namun apabila sering membuat persembahan dan tanpa sedar kami sudah menghasilkan album keempat, sekali gus kami sudah kukuh sebagai kumpulan,” katanya.
Biar sehebat manapun kumpulan ini, satu masalah yang sering menghimpit mereka apabila dibayangi muzik Peterpan gara-gara dua bekas ahli kumpulannya berada dalam The Titans. Tidak cukup dengan Rizki selaku vokalis The Titans yang juga memiliki iras wajah Ariel Peterpan.
“Sewaktu The Titans mencari vokalis, mereka mencari yang mirip Ariel (berseloroh). Namun pada sesiapa pernah melihat persembahan saya, mereka akan melihat banyak perbezaan. Ariel suaranya halus sedikit sedangkan saya lebih kasar.
“Muzik kita juga berbeza daripada Peterpan mahupun Noah kerana lagu-lagu kita padat dengan bunyian elektrik,” kata Rizki.
Bercerita mengenai album keempat mereka berjudul Kirana, ia mengandungi 10 lagu dengan komposisi 7 lagu baru dan 3 lagu yang pernah dikenali sebelum ini.
Tujuh lagu baru adalah Senyummu, Hingga Akhir Hidupku, Aku Lelaki, Berjanjilah, Lupakan Aku, Cinta Seutuhnya dan Dirimu.
Mengenai pilihan judul album, Imot menjelaskan, Kirana ertinya seberkas cahaya yang cantik.
“Jadi semoga album kita juga boleh bercahaya di tengah kesuraman. Daripada album 1, 2 dan 3 kita banyak belajar kerana baru bersama. Lama-lama ‘chemistry’ terjalin.
“Yang tidak banyak berubah dari segi konsep muzik The Titans adalah lirik lagunya yang rata-rata berkisahkan soal cinta. Meskipun demikian, dalam album Kirana ini mempunyai makna yang lebih dalam,” katanya.
Sebenarnya, album keempat The Titans ini sudah disiapkan sejak tahun lalu. Namun kerana pertimbangan dari segi label, mereka melancarkan dua single terlebih dulu serta satu lagu ketuhanan. Namun berbanding tiga album mereka sebelum ini, The Titans Self Tittled (2007), Melayang Lagi (2008) dan DTT III (2010), kali ini The Titans tampil lebih dewasa.
Andika menafsirkan album Kirana sebagai sebuah album dewasa yang pernah dihasilkan The Titans. Album yang lebih mudah dan ‘easy listening’.
Lagu yang menghiasi album ini antaranya Hingga Akhir Hidupku, Aku Lelaki, Berjanjilah, Lupakan Aku, Cinta Seutuhnya dan Dirimu.
Selama kunjungan mereka ke negara ini, The Titans juga terbabit dalam penggambaran video muzik Dengarkanlah yang dihasilkan pengarah tempatan juga kenalan mereka, Kalai.-hmetro
No comments: